Monday 19 December 2011

HALANGAN PEMAKAI TUDUNG LABUH





Bismillahirrohmanirrohim..

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, & janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." [surah al-Baqarah: ayat 208]

Dengan Nama Pencipta Yang Maha Agung, Tuhan sekalian alam.


Adapun begitu, kadangkalanya niat hati yang suci & azam yang berkobar-kobar itu menjadi merudum lantaran diuji dengan pelbagai ujian. Di kala itulah waktu kritikal yang paling sesuai untuk membina sebuah ketakwaan & kesandaran kepadaNya.

Berikut mungkin antara 'laluan berhalangan' yang harus ditempuhi sepanjang menyelusuri denai cahaya HidayahNya itu. Ada di antaranya saya tulis berdasarkan pengalaman diri, sahabat-sahabat lain, kenalan-kenalan mahupun melalui luahan-luahan peribadi usrati kepada saya. 

Namun, ujian setiap dari kita mungkinlah tidak sama. Cuma, harapan saya, ambillah iktibar & ibrah jika bermanfaat. Mungkin catatan ini dapat 'memujuk' hati 'beginners' sekalian supaya jangan berputus asa dalam mencari jalan pulang, insyaAllah.


1) Halangan daripada Keluarga. 

Keluarga sakinah, mawaddah, warohmah menjadi impian semua.


Haruslah kita akui, bukan semua setiap daripada kita bertuah dilahirkan dalam suasana keluarga yang menitipkan dakwah & tarbiyyah dalam pendidikan anak-anak mahupun seisi keluarga. Bukan semua institusi kekeluargaan di Malaysia ini mempraktikkan sunnah mendidik anak-anak menurut cara Islami. 

Mungkin kita terasa kuat apabila berada di kampus bersama-sama sahabat yang masing-masing menyokong hijrah kita. Namun, ujian sebenar bermula apabila kita pulang ke kampung & terasa sukar untuk berdepan dengan keluarga. Adalah perit menerima perlian & cemuhan. Bertambah perit jika kata-kata pedas itu dilontarkan oleh ahli keluarga darah daging sendiri. 

Pertama sekali, kita haruslah kuatkan semangat & kemaskan genggaman tawakal kita kepadaNya. Bersabar & mohonlah perlindungan & kekuatan daripadaNya. Kita harus faham keadaan keluarga kita yang mungkin terkejut dengan perubahan drastik kita itu. Tambahan lagi, kita memang daripada kecil memang kurang diterapkan dengan nilai-nilai agama. Mungkin jua di antara kaum hawa pertama yang mengenakan tudung, tudung labuh pula tu.

"Tak payah bertudung labuh pun tak apalah. Nanti orang kata apa pula, anak bukan main alim. Mak dengan adik beradik lain tudung pun entah ke mana. Jangan buat malu la." 

"Kau tu muda lagi. Pakai bungkus tudung besar-besar tu nampak macam orang tua. Tak payahlah pakai macam ustazah tu. Orang mengaji sekolah agama pun pakai tudung biasa je."

Biarkan saja kata-kata seperti ini berlalu pergi. Percayalah, keluarga kita juga adalah manusia biasa. Jikalau perubahan penampilan kita disertai dengan keindahan akhlak kita, insyaAllah lambat laun, ibu, ayah, abang, kakak mahupun adik kita akan perlahan-lahan dapat menerimanya. 

Sentuhlah hati mereka dengan akhlak kita. Perelokkan tutur kata, jadilah lebih sopan, menurut kata, ringan tulang membuat kerja rumah. InsyaAllah, hati mereka akan tersentuh & cair juga akhirnya walau menentang keras pada mulanya. InsyaAllah, mereka akan lebih menyenangi akhlak & penampilan baru kita itu.

Cuma, lambat atau cepat penerimaan itu, Allah lebih Tahu. Usaha itu hak kita. Tapi yang Menentukan itu adalah hak Allah. :)

Berbekal dengan doa & kesungguhan kita untuk istiqomah, mudah-mudahan Allah akan membukakan pintu hati semua ahli keluarga kita untuk menjadi hamba-hambaNya yang lebih soleh & solehah..  amiin.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman & orang-orang yang berhijrah & berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah al-Baqarah; ayat 218]


2) Kekasih Luar Nikah.

Ramai sahabat-sahabat saya yang 'menangguhkan' penghijrahan' mereka kerana alasan yang ini. Hanya kerana seorang lelaki yangdicintai sebelum bernikah. 

Bukanlah asing budaya "love-couple" (bercinta & berpasangan) sebelum akad nikah di negara kita ini. Bahkan pada usia belum baligh pun sudah ada anak-anak remaja yang terlibat dengannya.Astaghfirullahal adzhim..

Dalam keasyikan kita bercinta dan berpasangan, entahlah bagaimana tiba-tiba sahaja Allah menghantarkan hidayahNya kepada kita. Rasa angau, enak, indah & lazat bercinta dengan kekasih luar nikah kita itu tiba-tiba sahaja Allah nampakkan sebagai hodoh, busuk & menjelikkan. 

Kita ingin kembali. Kita rasa berdosa dengan kesilapan kita. Kita mahu menjadi perempuan solehah yang mahal harga dirinya. Kita mahu menyertai wanita-wanita syurga yang sangat mantap penjagaan batasan pergaulan (muamalat/ikhtilat) dengan lelaki yang bukan mahramnya. Namun, kita tak tahu harus berbuat apa.

Nak ditinggalkan lelaki itu, kita sudah banyak termakan budi dengannya, kita sudah lama menjalin cinta dengannya. Tidakkah nampak zalim kalau kita tiba-tiba meninggalkan dia dengan drastik? Itu persoalan yang mungkin bertalu singgah di hati.

Hati kita lalu berbelah bahagi. Memilih kembali kepada Allah atau meninggalkan kekasih hati? Kalau kita berhijrah namun masih melakukan kemungkaran tersebut, seakan tidak sah pula taubat kita itu. Itu yang kita fikir & sangkakan. Lalu, kita terus menjadi buntu.

Allah berfirman, Ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa bila dikatakan kepada kamu, "Berangkatlah untuk (berperang di jalan Allah)" Kamu merasa berat & ingin tinggal di tempatmu?Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia itu (dibandingkan dengan akhirat) sangatlah sedikit."[surah 9; At-Taubah: ayat 38]

Apalah hebatnya lelaki itu, yang cuma makhlukNya juga yang hina & berdebu dosa seperti kita jika hendak dibandingkan dengan Allah? Layakkah dia untuk menjadi penghijab jalan kita daripada pulang kepada Allah?

Lepaskanlah apa yang belum menjadi halal bagimu. InsyaAllah, Allah akan menjaganya lebih baik daripadamu. Kuatkanlah iman & bertawakallah kepada Allah. 

"....Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan Membukakan jalan keluar baginya." [surah 65; at-Thalaq: ayat 2]

"Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas & rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud hijrah kerana Allah & rasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. & Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." [surah an-Nisa', 4: ayat 100]

Saya faham, untuk mengambil langkah berpisah & meninggalkan kekasih luar nikah kita itu cukup susah & benar-benar menguji kita. Sesuatu yang telah kita buang perlulah digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Gantikanlah tempat yang telah ditinggalkan oleh kekasih kita itu dengan cinta Allah. InsyaAllah, luka & parut itu akan Allah sembuhkan dengan cintaNya.

Percayalah, jika kita melepaskan keduniaan semata-mata kerana mahukan ampunan & keredhaan Allah, nescaya Allah akan melimpahkan kebaikan kepada kita & menganjarkan sesuatu & seseorang yang lebih baik daripada dia yang telah kita tinggalkan kerana Allah. insyaAllah.


3) Dibayangi Dosa Lalu.

Halangan ini datangnya daripada kita sendiri. Kita menganggap, dosa kita yang terlalu menggunung itu takkan dapat terhapus hanya dengan taubat. Kita juga takut sekiranya kita akan mengulangi kembali dosa silam itu setelah bertaubat. 

"Aku banyak dosa. Aku dah sesat terlalu jauh. Nak ke Allah ampunkan aku kalau aku bertaubat? Aku pernah couple, berzina, tipu parents, minum arak. Nak ke Allah ampunkan aku...?"

Astaghfirullahal adzhim... siapalah kita untuk bersangka-sangka kepada Allah? KeampunanNya amat luas jika hendak dibandingkan dengan kemurkaanNya.

Allah berfirman dalam surah ke-4; An-Nisa' ayat ke 106; Ertinya:
"& mohonlah ampunan kepada Allah. Sungguh Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Kemudian Allah berfirman lagi dalam surah sama ayat ke 110, Ertinya:
"Barangsiapa berbuat kejahatan & menganiaya dirinya,kemudian dia memohon keampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapati bahawa Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Subhanallah! Baiknya Allah! :') Walau sejahat mana pun kita, Allah tetap menerima taubat kita selagi kita berusaha meraih ampunanNya. Dengan syarat, kita mestilah menyesali dosa terdahulu, berazam untuk tidak mengulangi serta berusaha untuk mengelakkan diri dari terjebak kembali ke arah maksiat itu. 

InsyaAllah, selagi dosa itu bukan dosa syirik, insyaAllah, Allah sentiasa membukakan pintu ampunanNya dan menerima taubat kita.

Setiap orang daripada kita melakukan dosa. Kerana kita adalah manusia yang bernafsu. Iman juga naik & turun. Pastilah kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun,adalah sangat berbeza berdosa lalu bertaubat & sentiasa berusaha untuk mengikutiNya dengan pendosa yang senang dengan dosanya & berat untuk bertaubat. 

Fitrah manusia bernafsu, namun, itu bukanlah alasan kita untuk tidak bertaubat & kembali kepada Allah. 

"Telah semakin dekat kepada manusia hari perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia) & berpaling (daripada akhirat.)" [surah al-Anbiya' ayat 1]

Tidak dinafikan, walau kita sudah bertaubat & memperbaiki diri sekalipun, kita masih ada masanya lalai & leka. Namun, segeralah kembali kepada Allah.
"Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah ke-12; yusuf: ayat 53]

Mohonlah pertolongan daripada Allah, "...maka katakanlah;"Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakal, & Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy (singgahsana) yang agung." [at-Taubah; 9: 129]


4) Persepsi Tudung Labuh Hanya Untuk Golongan SMKA, Maahad.

"Aku jahat. Tudung labuh hanya untuk orang yang alim, banyak ilmu agama, aku bukan anak imam, ustaz atau lulusan maahad B, SMKA A. Aku sekolah biasa. Keluarga pun bukan orang masjid. Aku tak layak...."

Kalau boleh, buang sikap suka bersangka-sangka begini. Jika kita ingin berbuat kebaikan, demi mendekatkan diri kepada Allah swt, hayunkan sahaja terus langkah kaki itu bergerak ke arah matlamat kita. Elakkan bertangguh-tangguh dan bersangka-sangka negatif begini.

"Bila aku pakai tudung labuh, orang ingat aku banyak ilmu agama. Padahal aku baru jek nak bertatih-tatih pulang kembali padaNya. Kalau orang tanya hal-hal kemusykilan pada aku & aku tak dapat jawab, bukankah malu nanti?" 

Ini juga antara halangan atau mungkin juga alasan lain yang menjadi tembok bagi penghijrahan kita. Hakikatnya persepsi orang tidaklah boleh kita halang, kita juga tidak punya kuasa jika mereka fikir kita serba tahu.

Oleh itu, amatlah perlu perubahan penampilan itu seiring dengan penambahan ilmu, peningkatan ibadah & pemantapan akhlak.Rujuklah orang yang lebih faham agama seperti ustaz & ustazah. Ringankan kaki untuk pergi ke Majlis-Majlis ilmu untuk menambah lagi kefahaman agama kita yang mungkin kurang.

Namun, jangan pula kita fikir perkara ini perkara senang. Allah tidak menjanjikan keindahan, kewangian serta kemanisan sepanjang jalan mujahadah ini. Pasti akan ada ujian yang datang kepada kita untuk menguji. Namun, jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah & teruskan berusaha.

"Dan sungguh, Kami benar-benar Menguji kamu sehingga Kami Mengetahui orang-orang yang benar-benar bersabar di antara kamu; & akan Kami uji perihal kamu." [surah Muhammad, ayat 31]

Ingatlah, tak bermakna kita perlu menjadi anak imam, lulusan universiti al-Azhar, maahad, SMKA atau kita hafizah yang hafal al-Quran barulah kita boleh memakai tudung labuh. Tudung labuh bukan beerti kita maksum dari dosa, lengkap & cukup faqqih dalam ilmu agama, atau peribadi yang langsung tak ada cacat celanya. Kita ini manusia. Bukannya malaikat yang tak punya nafsu. Kita ini manusia biasa. Bukan para Nabi yang maksum. Pasti ada kekurangannya dalam diri kita. Namun, itu semua bukanlah alasan untuk tidak kembali kepadaNya.


5) Musuh Terbesar : Diri Sendiri

Percaya atau tidak, diri kita sendiri merupakan halangan terbesar buat diri kita sebenarnya. Diri kita boleh jadi musuh yang paling jahat & tidak boleh dipercayai. Kita menyangka halangan untuk kita kembali adalah datang daripada sekeliling kita. Walhal sebenarnya, kita sendiri yang membina persepsi tersebut. Kita sendiri yang banyak beralasan seolah-olah ragu-ragu, tidak yakin & berat hati untuk berhijrah. 

Oleh itu, haruslah kita muhasabah diri kita kembali. Apakah & siapakah sebenarnya yang menghalangi kita daripada berbuat kebaikan? Padahal kita tahu itulah kebenaran, namun mengapakah hati kita berat untuk bergerak ke arahNya? Apakah kerana hati kita terlalu tebal dengan debu-debu dosa? 

Elakkan beralasan, bertangguh-tangguh. Memang apabila kita memilih untuk bertudung labuh, kita akan berusaha untuk menjadi ghuraba (asing), kita tidak akan menarik perhatian lelaki. Lelaki tidak akan memandang kita. Penampilan kita akan sederhana. Bukanlah mengikuti trend semasa, fesyen ala-ala korea, ala-ala artis kesayangan kita, gaya tudung model terkenal, gaya tudung si A, si B yang nampak anggun & cantik itu. 

Anggaplah ini semua sekadar ujian kecil buat kita. Biarkanlah mereka dengan gaya kain jarang, berbelit-belit & 'seciput' yang menutupi kepala namun, mendedahkan aurat mereka itu. Yang disangkakan mereka cantik & mengikut arus semasa, lelaki memandang mereka & mereka juga suka apabila dipandang lelaki.Walhal itu semua hanyalah mengundang murka Allah sebenarnya.

Wahai sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak-kakakku yang dikasihi Allah sekalian.

Biarlah lelaki tidak memandang kita, asalkan kita dipandang Allah. Biarlah kita dikatakan kuno tidak trendyasalkan itu yang mengundang redha Allah. Biarlah peluh yang mengalir kerana penampilan kita yang sempurna menutupi aurat kita,andai itu yang menjadi saksi untuk meraih syurga Allah kelakPanas di dunia bukanlah apa-apa dibanding dengan panasnya api nerakaNya.

Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara. Bukanlah tempat untuk kita bersuka-suka, bersenang-senang. bergembira. Dunia ini adalah tempat menguji iman bagi orang yang beriman. Mereka menyekat nafsu mereka, mereka menahan dengan sabar, bagi mereka, dunia ini tempat untuk mengumpul bekal, tempat untuk mempersiapkan diri bertemu Allah di akhirat kelak.

"Barangsiapa mengkehendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami memberikan balasan penuh buat mereka atas pekerjaan mereka di dunia & tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi sesuatu pun di akhirat kecuali neraka, & sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan di dunia & terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan." [surah Hud: ayat 15-16]

"...Mereka tidak mampu mendengar & tidak dapat melihat kebenaran. Mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri, & lenyaplah dari apa yang selalu mereka kerjakan.Pasti mereka itu menjadi orang yang paling rugi di akhirat." [surah Hud: ayat 20-22]

Jika kita memegang teguh kepada Allah, semata-mata mahu meraih keredhaan & ampunanNya, kita kira Allah akan melepaskankah tangan kita itu?

Tentulah tidak. 

Allah berfirman, "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka mengikut perintahKu & beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran." [surah al-Baqarah: ayat 186]

"Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya (iman). Dan pelindung bagi orang-orang kafir adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya & memasukkan mereka ke dalam kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya." [surah 2; al-Baqarah; ayat 257]

6) Halangan-halangan kecil lain

Sahabat yang baik, apabila kita terpandang wajah & akhlaknya, kita teringatkan Allah.

a) Sahabat baik/ teman rapat/ kawan karib.
Ada kemungkinannya juga, penghijrahan ini bakal 'mengusir' pergi kawan-kawan baik, teman-teman rapat mahupun sahabat sejati. Namun, insyaAllah, jika mereka benar-benar kawan yang baik, teman yang rapat & sahabat yang sejati, mereka akan memahami malah menyokong perubahan ke arah kebaikan ini.

Pada awalnya mereka mungkin terkejut & menjauhi kita. Hal ini kerana mereka menyangka kita sudah 'lain' daripada mereka. Namun, gunakan jugalah pendekatan yang sama dengan pendekatan yang kita gunakan pada halangan nombor 1. InsyaAllah, mudah-mudahan perubahan & penghijrahan kita ke arah yang lebih baik juga dapat melunakkan hati mereka untuk kembali.

Apabila sudah merasa cukup kuat, ajaklah juga kawan, teman & sahabat ini untuk sama-sama mengadiri usrah, ceramah serta majlis-majlis ilmu. Sambil berdoa juga agar Allah membukakan pintu hati mereka. Jangan sesekali meninggalkan mereka kerana sudah menganggap diri kita suci, baik & sebagainya. Nauzubillah.!

Semua orang yang berdosa itu perlu dibimbing, bukannya ditinggalkan. Jika benar persahabatan kita kerana Allah SWT, maka kita akan bersungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar, yakni mahu sama-sama masuk ke syurgaNya. Bukannya kita meninggalkan sahabat kita itu terkontang kanting dengan masalahnya. Ini sepatutnya menjadi prinsip kita dalam bersahabat. Ini yang sepatutnya dipraktikkan. InsyaAllah. 

b) Antara halangan kecil lain ialah penerimaan masyarakat. 

Hal ini mungkin nampak kecil, namun, pada sesetengah orang, halangan ini besar & berpotensi untuk menggugah semangat untuk tetap istiqomah.

Saya sendiri, di awal penghijrahan, diuji dengan ujian yang ini. Ayah & ibu saya agak dikenali & banyak memegang jawatan penting di kawasan kediaman kami. Maka, apabila saya tiba-tiba pulang dengan gaya 'berbungkus' yang kemudiannya membawa pula kepada penghijrahan adik-adik saya, mungkin ada pihak yang memandang kami dengan sinis. 

Waktu kami ke salah satu walimah di tempat kami tinggal, kami telah digelakkan & diperli oleh sekumpulan makcik-makcik serta anak-anaknya yang berkumpul di sebelah tempat kami makan. Serta merta kami menjadi perhatian.

Kata-kata mereka itu memang sangat pedih & melunturkan semangat buat beginners seperti kami yang masih rapuh tercari-cari.

Waktu itu, bergenang air mata saya. Hampir saja air mata menitis ke dalam pinggan nasi yang sedang di makan. Dada terasa sakit menahan kesebakan. Saya tidak berani membalas pandangan ibu yang nampak hampa & pilu di kejauhan. Saya tak berani memandang adik-adik yang ada di sebelah. Tangan saya menggigil menahan rasa & hati rasa sungguh sayu.  

Waktu itu, doa saya, pinta saya, moga Allah kuatkan hati saya, ibu & adik-adik. Saya pandang, ganjaran Allah lebih besar dari pandangan & cemuhan mereka. Saya redha walaupun kejadian itu nyata memang melukakan.

Tambah melukakan, apabila hati tertanya, bagaimana pula agaknya terluka hati Rasulullah saw sewaktu menyampaikan risalah Allah kepada ummatnya yang jauh lebih menguji baginda. Apalah sangat kejadian itu jika mahu dibandingkan dengan rasa kasih baginda pada kita. 

Saya kuatkan hati sendiri & adik-adik. Nasihat saya pada mereka,kita usaha jadi baik untuk dimuliakan Allah. Bukan untuk manusia. Kita jadi baik untuk bertemu Allah & rasulullah saw dalam syurgaNya. Maka, kuatkan semangat, ini hanyalah ujian yang sangat kecil, kata saya.

Alhamdulillah, kini sudah bertahun penghijrahan ini. Syukur yang sangat tinggi saya panjatkan kepada Allah kerana menguatkan hati saya, adik-adik untuk terus tsabat dalam jalanNya.

Kalau saya yang lemah ini boleh, pastinya sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak semua yang jauh lebih hebat dari saya akan dapat mengatasi semua halangan ini, insyaAllah. :) saya yakin, antum boleh. Boleh, insyaAllah dengan kekuatan & pertolongan Allah.


Penutup: Mujahadah ini Payah, Namun... 

Allah sentiasa menanti taubat & 'kepulangan' kita kepadaNya.


Perjalanan menuju syurga itu dipenuhi onak & duri. Manakala perjalanan menuju ke neraka itu dipenuhi dengan suka, gembira & indah. Yang suka, gembira & indah itu adalah perangkap iblis & syaitan buat kita supaya menjadi sebahagian daripada mereka & menyertai mereka masuk ke dalam neraka & menjadi bahan bakarnya.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu. & boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu.Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [al-Baqarah, 2: ayat 216]

"Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah & Rasul & juga janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [surah 8; al-Anfal: ayat 27]

Sahabat-sahabat, adik-adik, kakak-kakak serta saudari-saudariku yang dikasihi Allah sekalian,

Mujahadah itu payah, jalannya sukar beronak duri, kadangkala kita tersungkur dan terluka. Namun, itulah harga yang perlu dibayar untuk syurgaNya.
Isian syurga yang hebat itu adalah insan-insan yang telah banyak bersabar, mereka telah banyak berkorban harta, masa, tenaga bahkan nyawa sekalipun demi Allah swt. Mereka itulah penghuni syurga yang indah bersih wajahnya, suci hatinya. Di sinilah tempatnya Rasulullah saw, isteri-isterinya, sahabat-sahabatnya, para sabirin, para mujahidin berkumpul. 

Tak inginkah kita menyertai mereka? 

Maka, teruskanlah bersabar, berusaha & berdoa. Mudah-mudahan semua amalan kita diterima & mudah-mudahan kita semua akan masuk ke syurgaNya tanpa perlu singgah ke nerakaNya dahulu. insyaAllah, amiin.


Mudah-mudahan menjadilah kita wanita solehah yang bakal menjadi bidadari yang diredhai Allah. amiin.

Cukup dulu untuk kali ini, semoga bertemu lagi. Ambillah mana yang bermanfaat, maafkanlah atas kekurangan, kekasaran bahasa yang digunakan. Mudah-mudahan Allah pandang saya yang hina ini.Syukran sekali lagi kepada ukhti SYAUQAH WARDAH atas perkongsian :)

Wallahualam...


"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."

SYUKRAN SUDI MEMBACA,ASIF JIKA ADA SEBARANG KESILAPAN.ANA MOHON TEGURAN DARIPADA KALIAN SEKIRANYA ADA KEKURANGAN DAN KESILAPAN DENGAN ENTRY ANA.KALAU SUKE 'LIKE' LAH.SAMPAIKANLAH KEPADA HAMBANYA WALAUPON SATU AYAT :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Designed by Dai'e Muslimah a.k.a Saiyidah Omar ( si gadis Omar dan Zanariah )heart taken by Capital A